Jumaat, 18 Julai 2014

Halalan Toyyiban – Konsep Penyediaan Makanan Tuntutan Islam

Memetik surah al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud; Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.

Halal adalah satu kata nama bahasa Arab di mana kata kerjanya ialah halla, yahillu, hillan yang membawa erti membebaskan, melepaskan, memecahkan, membubarkan dan membolehkan. Apabila ia digunakan di dalam bidang perundangan Islami ia membawa maksud;  pertamanya segala sesuatu yang menyebabkan seseorang itu tidak dihukum jika menggunakannya dan keduanya sesuatu yang boleh dikerjakan menurut syarak.

Al-Jurjani dalam Kitab al-Ta’rifat menjelaskan bahawa pengertian halal dengan maksud pertama merujuk kepada keharusan menggunakan benda-benda atau apa-apa  yang diperlukan untuk memenuhi keperluan jasmani seperti makanan, minuman dan ubat-ubatan. Manakala pengertian halal dengan maksud yang kedua adalah bersangkut paut dengan keharusan memanfaatkan, memakan, meminum dan mengerjakan sesuatu yang kesemuanya ditentukan berdasarkan nas.

Di dalam al-Quran, Allah s.w.t menggunakan istilah halal dalam pelbagai keadaan ayat. Antara penggunaan tersebut ada yang menyentuh sudut muamalat, hal kekeluargaan dan perkahwinan, makanan dan rezeki dan seumpamanya.

Apa yang lebih menarik tentang konsep makanan dan rezeki  halal yang disebut di dalam al-Quran ialah kata sifat “toyyib” yang mengekorinya. Toyyib (atau toyyibah; toyyibat atau tuuba sebagai jamak) dari segi makna ialah sesuatu yang baik atau elok atau yang berlawanan dengan yang buruk. Jadi apabila disebut 'halalan toyyiban' ia memberi maksud sesuatu yang halal yang bersifat baik atau elok.

Secara mudah, arahan Allah s.w.t supaya kita makan bukan terhenti setakat memakan makanan yang halal semata-mata, bahkan ia melangkaui ke satu tahap yang lebih daripada itu. Justeru kita disuruh memakan makanan yang halal yang bersifat elok atau tinggi mutunya. Begitu juga dengan sumber rezeki yang kita usahakan bagi mendapatkan makanan halal. Ia sepatutnya terhasil daripada usaha yang halal lagi berkualiti. Penekanan terhadap unsur mutu usaha ini penting kerana rezeki yang diperolehi tadi tentunya lebih baik dan lebih diberkati oleh Allah s.w.t. berbanding rezeki yang dijana daripada kerja atau usaha yang bersifat ala kadar. Tambahan pula kita akan menggunakan rezeki tadi untuk memenuhi keperluan harian diri dan keluarga. 
Keadaan ini juga terpakai untuk konsep 'Halal' dan 'Halalan Toyyiban' di mana ia juga merupakan satu konsep yang perlu dipatuhi oleh umat Islam secara menyeluruh. Dari pandangan hidup agama Islam, konsep ini boleh mendatangkan pelbagai kesan positif untuk semua aspek kehidupan manusia. Ini tidak terkecuali sektor ekonomi di mana kesan yang paling ketara dapat dilihat menerusi perkembangan pesat dalam industri makanan halal di serata dunia.

Tuntutan supaya rezeki yang diperolehi itu adalah rezeki yang halal ialah untuk memastikan keberkatan diperolehi dalam kehidupan. Jadi adalah menjadi tanggungjawab setiap orang dan masyarakat Muslim untuk memastikan tuntutan ini dipenuhi. Proses penyediaan makanan dan minuman halal yang bermula daripada penyediaan bahan mentah hinggalah ia terhidang di atas meja sepatutnya dilakukan oleh orang Islam itu sendiri.

Tanggungjawab ini tidak sepatutnya diletak dibahu penganut agama lain kerana mereka sudah tentu tidak mampu memahami kepentingan konsep halalan toyyiban secara sempurna. Jika mereka memahaminya sekalipun, dorongan mereka hanyalah kerana daya keuntungan yang bersifat keduniaan yang ada pada konsep tersebut yang diraih menerusi saiz pasaran dan permintaan daripada pengguna  Islam di seluruh dunia.

Fakta inilah juga yang menjelaskan kenapa pengeluar-pengeluar bukan Muslim di negara kita menguasai sebahagian besar pasaran makanan halal negara. Ini adalah suatu paradoks kerana mengikut unjuran Unit Perancang Ekonomi, jumlah penduduk Malaysia pada 2008 (termasuk bukan warganegara) berjumlah 27.9 juta orang dengan 13.66 juta adalah penduduk Melayu. Apa yang pelik ialah hanya lebih kurang 15% sahaja pasaran makanan halal dikuasai oleh pengusaha Muslim.

Justeru, penguasaan pasaran produk makanan halal yang dipelopori oleh golongan bukan Islam telah melenyapkan konsep 'toyyiba'. Konsep toyyiba bukan terhenti sekadar bahan makanan yang bermutu, tetapi etika penyediaan dan cara memasak memainkan peranan penting bagi mencapai konsep toyyiba. Sebagai contoh, makanan atau bahan tersebut hendaklah dibersihkan dengan air mutlak dan diiringi selawat atau basmalah, bagi pekerja wanita yang didatangi haid hendaklah mengenakan sarung tangan ketika menyediakan makanan tersebut kecuali jika menyediakan makanan untuk keluarganya. Sudah tentu, etika toyyiba tidak akan dikuatkuasakan oleh pengusaha yang tidak beragama Islam. 

Proses penyediaan makanan 'halalan toyyiban' juga mempengaruhi penikmat hidangan tersebut, lantaran makanan akan diurai menjadi darah dan daging. Sedarkah kita, mengapa sikap dan peri laku anak-anak sekarang sukar dikawal dan membimbangkan. Kebejatan moral juga dipengaruhi oleh jenis makanan yang diambil. Lantaran itu, etika 'toyyiban' perlu diaplikasikan dalam penyedian makanan harian. Apa lagi ketika memasak dibacakan zikir-zikir dan mendoakan agar makanan tersebut memberi zat dan kebaikan kepada tubuh untuk beribadah kepada Allah, menghadiri majlis ilmu dan bekerja mencari rezeki yang halal. 



Dipetik dari 
FAIZAH AZAMAN.

Selasa, 15 Julai 2014

Nuzul Al Quran

Terdapat dua pendapat mengikut ahli sejarah, termasuk pendapat para ahli hadis, tentang Al-Quran yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw.

Pendapat pertama menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadhan, 13 tahun sebelum hijrah (6 Ogos 610 M). Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). Pendapat yang pertama adalah berdasarkan ayat 41 dari Surah Al-Anfaal, manakala pendapat kedua dasarnya adalah ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan.

Walaupun tradisi Nuzul Al-Quran telah lazim diperingati pada tanggal 17 Ramadhan, namun sesungguhnya pendapat kedua adalah lebih kuat dan lebih mungkin benarnya. Ini adalah kerana malam Lailatul Qadar yang dipercayai sebagai malam turunnya Al-Quran bukanlah terjadi pada tanggal 17 Ramadhan.

Adapun dalam firman Allah SWT pada ayat 41 surah Al-Anfaal, yaitu: "…jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad saw) pada hari Furqan,iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan kafirin)…" (TTQ 8 : 41) Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran.

Tetapi sebenarnya ayat tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut). " Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…" (TTQ 8 : 41).
Dan apabila diteliti dengan lebih lanjut, yakni dengan menghubungkan hadis-hadis tentang turunnya Al-Quran, iaitu pada Lailatul-Qadar dan kelahiran Rasullullah pada hari Isnin serta pada catatan-catatan waktu di dalam takwim, maka akan diperolehi kesimpulan yang lebih tepat, iaitu Al-Quran diturunkan pada hari Isnin, malam 21 bulan Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasullulah saw berhijrah ke Madinah.

Menurut para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam "Lailatul Qadar" sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus di "Baitul Izzah" di langit dunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.

Adapun ayat-ayat yang pertama diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw adalah ayat 1-5 surah Al-'Alaq.
Dan peristiwa ini terjadi ketika nabi saw sedang bertahannus (menyendiri) di Gua Hira. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah Al-Baqarah.

Pakej Katering Kenduri Kahwin





Rabu, 2 Julai 2014

KATERING PERKAHWINAN 23 FEB 2014

Perkhidmatan Katering Perkahwinan di Seremban pada 23 Feb 2014.


  1. Menu Hidangan:-
  2. Nasi Briyani Johor
  3. Nasi Putih
  4. Ayam Masak Briyani
  5. Daging Masak Lampap
  6. Dalca
  7. Jelata Timun Nenas
  8. Air Sirap
  9. Buah Tembikai