Terdapat dua pendapat mengikut ahli sejarah, termasuk
pendapat para ahli hadis, tentang Al-Quran yang diturunkan (diwahyukan) kepada
Nabi Muhammad saw.
Pendapat pertama menyatakan
bahawa Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadhan, 13 tahun
sebelum hijrah (6 Ogos 610 M). Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Al-Quran
telah diturunkan pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). Pendapat
yang pertama adalah berdasarkan ayat 41 dari Surah Al-Anfaal, manakala pendapat
kedua dasarnya adalah ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan.
Walaupun tradisi Nuzul
Al-Quran telah lazim diperingati pada tanggal 17 Ramadhan, namun sesungguhnya
pendapat kedua adalah lebih kuat dan lebih mungkin benarnya. Ini adalah kerana
malam Lailatul Qadar yang dipercayai sebagai malam turunnya Al-Quran bukanlah
terjadi pada tanggal 17 Ramadhan.
Adapun dalam firman Allah SWT
pada ayat 41 surah Al-Anfaal, yaitu: "…jika kamu beriman kepada Allah dan
apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad saw) pada hari
Furqan,iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin
dan kafirin)…" (TTQ 8 : 41) Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan
Nuzul Al-Quran.
Tetapi sebenarnya ayat
tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang
(seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut). " Ketahuilah sesungguhnya
apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya
seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim,
orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…"
(TTQ 8 : 41).
Dan apabila diteliti dengan
lebih lanjut, yakni dengan menghubungkan hadis-hadis tentang turunnya Al-Quran,
iaitu pada Lailatul-Qadar dan kelahiran Rasullullah pada hari Isnin serta pada
catatan-catatan waktu di dalam takwim, maka akan diperolehi kesimpulan yang
lebih tepat, iaitu Al-Quran diturunkan pada hari Isnin, malam 21 bulan
Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasullulah saw berhijrah ke Madinah.
Menurut para mufassirin,
Al-Quran yang diturunkan pada malam "Lailatul Qadar" sebagaimana
disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus di "Baitul
Izzah" di langit dunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan
diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar
23 tahun.
Adapun ayat-ayat yang pertama
diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw adalah ayat 1-5 surah
Al-'Alaq.
Dan peristiwa ini terjadi ketika nabi saw sedang
bertahannus (menyendiri) di Gua Hira. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir
sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah
Al-Baqarah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan