Memetik surah al-Baqarah ayat 168 yang
bermaksud; Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi
baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti
langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang
nyata bagimu.
Halal adalah satu kata nama bahasa Arab di
mana kata kerjanya ialah halla, yahillu, hillan yang membawa
erti membebaskan, melepaskan, memecahkan, membubarkan dan membolehkan. Apabila
ia digunakan di dalam bidang perundangan Islami ia membawa
maksud; pertamanya segala sesuatu yang menyebabkan seseorang itu
tidak dihukum jika menggunakannya dan keduanya sesuatu yang boleh dikerjakan
menurut syarak.
Al-Jurjani dalam
Kitab al-Ta’rifat menjelaskan bahawa pengertian halal dengan maksud
pertama merujuk kepada keharusan menggunakan benda-benda atau
apa-apa yang diperlukan untuk memenuhi keperluan jasmani seperti
makanan, minuman dan ubat-ubatan. Manakala pengertian halal dengan maksud yang
kedua adalah bersangkut paut dengan keharusan memanfaatkan, memakan, meminum
dan mengerjakan sesuatu yang kesemuanya ditentukan berdasarkan nas.
Di dalam al-Quran, Allah s.w.t menggunakan
istilah halal dalam pelbagai keadaan ayat. Antara penggunaan tersebut ada yang
menyentuh sudut muamalat, hal kekeluargaan dan perkahwinan, makanan dan rezeki
dan seumpamanya.
Apa yang lebih menarik tentang konsep
makanan dan rezeki halal yang disebut di dalam al-Quran ialah kata
sifat “toyyib” yang mengekorinya. Toyyib (atau toyyibah;
toyyibat atau tuuba sebagai jamak) dari segi makna ialah sesuatu
yang baik atau elok atau yang berlawanan dengan yang buruk. Jadi apabila
disebut 'halalan toyyiban' ia memberi maksud sesuatu yang halal
yang bersifat baik atau elok.
Secara mudah, arahan Allah s.w.t supaya
kita makan bukan terhenti setakat memakan makanan yang halal semata-mata,
bahkan ia melangkaui ke satu tahap yang lebih daripada itu. Justeru kita
disuruh memakan makanan yang halal yang bersifat elok atau tinggi mutunya.
Begitu juga dengan sumber rezeki yang kita usahakan bagi mendapatkan makanan
halal. Ia sepatutnya terhasil daripada usaha yang halal lagi berkualiti.
Penekanan terhadap unsur mutu usaha ini penting kerana rezeki yang diperolehi
tadi tentunya lebih baik dan lebih diberkati oleh Allah s.w.t. berbanding
rezeki yang dijana daripada kerja atau usaha yang bersifat ala kadar. Tambahan
pula kita akan menggunakan rezeki tadi untuk memenuhi keperluan harian diri dan
keluarga.
Keadaan ini juga terpakai untuk
konsep 'Halal' dan 'Halalan Toyyiban' di mana
ia juga merupakan satu konsep yang perlu dipatuhi oleh umat Islam secara
menyeluruh. Dari pandangan hidup agama Islam, konsep ini boleh mendatangkan
pelbagai kesan positif untuk semua aspek kehidupan manusia. Ini tidak
terkecuali sektor ekonomi di mana kesan yang paling ketara dapat dilihat
menerusi perkembangan pesat dalam industri makanan halal di serata dunia.
Tuntutan supaya rezeki yang diperolehi itu
adalah rezeki yang halal ialah untuk memastikan keberkatan diperolehi dalam
kehidupan. Jadi adalah menjadi tanggungjawab setiap orang dan masyarakat Muslim
untuk memastikan tuntutan ini dipenuhi. Proses penyediaan makanan dan minuman
halal yang bermula daripada penyediaan bahan mentah hinggalah ia terhidang di
atas meja sepatutnya dilakukan oleh orang Islam itu sendiri.
Tanggungjawab ini tidak sepatutnya diletak
dibahu penganut agama lain kerana mereka sudah tentu tidak mampu memahami
kepentingan konsep halalan toyyiban secara sempurna. Jika
mereka memahaminya sekalipun, dorongan mereka hanyalah kerana daya keuntungan
yang bersifat keduniaan yang ada pada konsep tersebut yang diraih menerusi saiz
pasaran dan permintaan daripada pengguna Islam di seluruh dunia.
Fakta inilah juga yang menjelaskan kenapa
pengeluar-pengeluar bukan Muslim di negara kita menguasai sebahagian besar
pasaran makanan halal negara. Ini adalah suatu paradoks kerana mengikut unjuran
Unit Perancang Ekonomi, jumlah penduduk Malaysia pada 2008 (termasuk bukan
warganegara) berjumlah 27.9 juta orang dengan 13.66 juta adalah penduduk
Melayu. Apa yang pelik ialah hanya lebih kurang 15% sahaja pasaran makanan
halal dikuasai oleh pengusaha Muslim.
Justeru, penguasaan pasaran produk makanan
halal yang dipelopori oleh golongan bukan Islam telah melenyapkan konsep 'toyyiba'.
Konsep toyyiba bukan terhenti sekadar bahan makanan yang
bermutu, tetapi etika penyediaan dan cara memasak memainkan peranan penting
bagi mencapai konsep toyyiba. Sebagai contoh, makanan atau bahan
tersebut hendaklah dibersihkan dengan air mutlak dan diiringi selawat atau basmalah,
bagi pekerja wanita yang didatangi haid hendaklah mengenakan sarung tangan
ketika menyediakan makanan tersebut kecuali jika menyediakan makanan untuk
keluarganya. Sudah tentu, etika toyyiba tidak akan
dikuatkuasakan oleh pengusaha yang tidak beragama Islam.
Proses penyediaan
makanan 'halalan toyyiban' juga mempengaruhi penikmat hidangan tersebut,
lantaran makanan akan diurai menjadi darah dan daging. Sedarkah kita, mengapa
sikap dan peri laku anak-anak sekarang sukar dikawal dan membimbangkan.
Kebejatan moral juga dipengaruhi oleh jenis makanan yang diambil. Lantaran itu,
etika 'toyyiban' perlu diaplikasikan dalam penyedian makanan
harian. Apa lagi ketika memasak dibacakan zikir-zikir dan mendoakan agar
makanan tersebut memberi zat dan kebaikan kepada tubuh untuk beribadah kepada
Allah, menghadiri majlis ilmu dan bekerja mencari rezeki yang halal.
Dipetik dari
FAIZAH AZAMAN.