Ahad, 24 November 2013

DOA SEORANG HAMBA


Sebagai seorang hambaNya kita dianjurkan berusaha gigih mencari rezeki yang halal untuk berjaya dan berharta supaya kita dapat pula memberi atau bersedekah sebahagian kekayan tersebut ke jalan Allah. Untuk itu seharusnya kita berdoa dan bertawakal selepas berusaha sedaya upaya.
  
Terdapat beberapa waktu berdasarkan beberapa riwayat di mana doa kita jarang ditolak oleh Allah. 

Doa Ketika Hujan Lebat
Rasulullah bersabda: "Dua doa yang tidak pernah ditolak iaitu doa ketika waktu azan dan doa ketika waktu hujan". Hujan membawa rahmat kepada manusia dan kehidupan lain. Manusia perlukan air untuk diminum dan tumbuhan perlukannya untuk tumbesaran. Imam Nawawi memberitahu doa pada waktu ini jarang ditolak kerana turunnya rahmat terutama curahan hujan pertama di awal musim.

Doa Ketika Mendirikan Solat Fardu
Sabda Rasulullah ini menggambarkan afdalnya berdoa saat ini: "Berdoalah pada waktu mustajab doa iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun." (Riwayat Abu Daud)

Doa Apabila Bilal Selesai Azan
Kita sepatutnya melazimi diri berdoa pada waktu ini sementara menunggu iqamat yang akan diucapkan oleh bilal. Dengan demikian, doa kita tidak akan ditolak oleh Allah berdasarkan apa yang disebut oleh Rasulullah. Baginda bersabda: "Doa tidak akan ditolak di antara azan dan iqamat." (Riwayat Abu Daud  dan al-Baihaqi)

Doa Ketika Sujud
Rasulullah bersabda: "Seorang hamba paling hampir kepada Tuhannya adalah ketika dia sujud, maka kamu perbanyakkanlah doa." (Riwayat Muslim An-Nasa'i, Abu Daud dan Ahmad). Ketika bersujud kepada Allah, dahi kita mencecah lantai, maka Rasulullah memberi tunjuk ajar kepada kita supaya memperbanyakkan berdoa kerana waktu ini kita terlalu hampir dengan Allah.

Semoga segala doa kita dimakbulkan Allah s.w.t.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan